Guru

Walaupun sudah agak lewat untuk mengucapkan Selamat Hari Guru, tidak dapat tidak, saya harus menulis sesuatu berkaitan Hari Guru. Bagi saya ia merupakan hari yang wajar diraikan dan dikenang. Ia benar-benar istimewa!

Januari tahun 2016 genap 6 tahun usia perkhidmatan saya dan Rehan sebagai guru. Walaupun kami tidak berkhidmat di sekolah, namun kami tetap merasakan kami juga adalah guru dan pendidik. Pun begitu, selama kami berkhidmat di kolej matrikulasi, belum ada saya tahun pun kami meraikan dan menyanyikan lagu Guru Malaysia kerana saban tahun Hari Guru dirai ketika kami semua sedang dalam cuti. Sememangnya, itulah kalendar akademik matrikulasi. Sedih kerana kami tidak dirai oleh pelajar-pelajar kami. Bukanlah kerana kami menginginkan hadiah sebagai sesuatu untuk menceriakan Hari Guru, namun ianya lebih kepada acara meraikan itu. Barangkali, kami akan lebih gembira dan mendapat suntikan motivasi yang akan menjadi pemacu kepada hari-hari sukar kami mendidik anak-anak bangsa. Mungkin ia juga akan sentiasa mengingatkan kepada pilihan kami untuk menjadi guru.

Hari ini, para pelajar tidaklah seperti dulu. Ia mungkin kedengaran klise, namun itulah yang sering diperkatakan dalam kalangan pendidik hari ini. Atau sekurang-kurangnya itu apa yang saya fikirkan. Proses belajar hanyalah berfokus kepada penyampaian atau lebih kepada perpindahan maklumat dan ilmu dari guru kepada pelajar. Hubungan antara guru dan pelajar yang sewajarnya dirai, tidak dipedulikan. Anak-anak hari ini lebih rapuh dan sentiasa mengharapkan pujian dan kebanyakan mereka tidak boleh ditegur. Mereka mudah untuk merasakan teguran sebagai sesuatu yang tidak wajar dilakukan dan merasakan mereka harus dilayan dengan lembut dan baik sepanjang masa walaupun mereka malas, tidak melaksanakan tugasan yang disuruh, bahkan tidak mengetahui tujuan asal mereka belajar. Sedih, namun itulah hakikat hari ini. 

Saya kurang pasti adakah ia kerana ego guru, atau juga akhlak pelajar, atau norma masyarakat hari ini?

Saya tidak akan pernah berhenti mendidik, kerana bagi saya perasaan itu hanya Allah yang maha mengetahui. 

Saya sayang semua Guru saya, dulu kini dan selamanya. Yang baik hati, yang ceria, yang garang, yang sentiasa menegur, yang mengambil berat dan semuanya. Juga kepada Allah yang menyediakan kehidupan yang tidak pernah jemu menjadi Guru kepada saya. Terima kasih Guru!

Pendidik selamanya,
Zahir
Pontian, Johor.

Update : Pembelajaran Dalam Talian semasa pandemik Covid-19 dalam tahun 2020





Comments

Popular Posts