Kepenatan biasa, keseronokan luar biasa!
بسم الله الرحمن الرحيم
اسلامليكم w.b.t
Saban tahun saya akan sentiasa memperbaharui azam. Ini adalah entri pertama untuk 2015.
2015 juga tidak ketinggalan dan azam paling mustahak yang akan diperbaharui sudah semestinya konsisten dalam menulis blog. Saya sentiasa positif untuk kerap menulis dan men'update' blog. Natijah daripada sentiasa berpesan kepada pelajar untuk kekal positif dalam apa jua keadaan.
Berbalik pada entri untuk kali ni. Kelmarin dan semalam 23-24/1/15 saya menyertai Misi i-Bantu anjuran Ikram Pontian yang disertai oleh sukarelawan daripada Ikram Pontian sendiri dan Skudai. Kami merancang perjalan ke Temerloh bagi membantu mangsa banjir yang berlaku lewat hujung tahun lalu. Spesifiknya, misi kami bertujuan untuk mengecat dan membantu mengemas Masjid Kg. Sanggang Seberang yang terletak betul-betul bersebelahan Sungai Pahang dalam daerah Temerloh.
Kami mula bergerak dari pejabat Ikram Pontian kurang lebih jam 10.30pm. Sememangnya siang hari saya diisi dengan Bengkel Menjawab UPS dan petangnya pula saya hanya memilih untuk berehat di rumah mengisi masa berkualiti bersama Rehan & Hannan. Saya memulakan perjalanan dengan keletihan yang masih berbaki dari siang hari. Bas yang dinaiki dalam perjalanan dari Pontian ke Temerloh sungguh menguji ketahanan badan untuk menghadapi suhu lampau sejuk. Memang super sejuk! Lantas terus membayangkan nikmat panas pada ketika itu. Yang pasti perjalanan hampir 6 jam gagal membuatkan saya melelapkan mata walaupun saya cuba dengan sangat bersungguh-sungguh kerana mengimpikan tubuh yang segar bertenaga keesokan harinya untuk melaksanakan tugas-tugas berat. (wahahah berat sangat!)
Jam 5.30 kami sampai di Masjid Ubudiah, Batu 1, Temerloh untuk menunaikan solat subuh. Keluar daripada bas satu nikmat besar jika dibandingkan dengan 6 jam dalam bas yang sejuk membeku sehingga memamah tulang-tulang. Pergh! Usai solat, masing-masing cuba mengemaskan diri sementara menunggu arahan Ketua misi, Nazri (sahabat dalam usrah) untuk kami memulakan pencarian sarapan pagi. Saya memilih Kopi O dan Roti Telur sebagai bahan bakar untuk tenaga yang perlu diperah sewaktu misi bantuan nanti.
Tepat jam 8.20 pagi, kami tiba di destinasi yang dituju.
| Rombongan Misi i-Bantu Masjid Sanggang Seberang, Temerloh (gambar selepas mengecat) |
Dipendekkan cerita, jam 5 kami mula bergerak balik dari Masjid Kg Sanggang Seberang. Kami singgah di Masjid berdekatan untuk mandi disebabkan jumlah kami yang ramai, tandas dan bilik mandi masjid yang kami cat tidak dapat menampung. Dalam perjalanan, kami singgah di beberapa buah rumah untuk menyerahkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir kepada penduduk sekitar.
| Akram menyerahkan bantuan pakcik yang uzur dan bersendirian dirumahnya. Anak-anak tidak tinggal bersama. |
Alhamdulillah, Misi berjalan dengan lancar. Pengalaman baru dan sudah pasti ia bukan yang terakhir pada niat di hati saya. Segalanya jatuh pada ketentuan Allah. Cat, cat, penat!
Kepenatan biasa, keseronokan luar biasa!
Yang terus berjuang untuk ikhlas dan atas redha tuhan,
Zahir,
Pontian.
Comments
Post a Comment