Oleh Guru Untuk Guru

Hari ini Hari Guru
Aku mencongak, ini kali kedua aku menyambut Hari Guru sebagai Guru
Hari yang begitu istimewa buat insan bergelar guru 

Hari ini tidak banyak berbeza seperti hari-hariku yang lalu. Jam 6 aku sudah bangkit dan membersihkan diri, menunaikan solat subuh. Subuh gajah juga aku pagi tadi. Tidak juga berubah. Sama seperti selalu. Tapi aku teringat sesuatu. Satu shj yg berbeza dari hari hariku sebelum ini. Hari ini Hari Guru.

Menyambut Hari Teristimewa ini bukanlah seperti meraikan Hari Raya atau apa-apa jua keraian. Ianya lebih kepada menyelami jiwa nurani guru oleh guru. Mengimbas apa yang telah dilakukan dalam tempoh setahun lalu. Kejayaan apakah yang telah dicapai?Apakah hari ini seorang guru bangkit dengan limpah cahaya dara dari fajar yang terbit dipagi hari?Atau hari ini sama seperti hari-hari biasa bangkit dan bekerja seperti robot tanpa hati?

Apakah ukuran bagi kejayaan guru? Guru jenis A, kejayaan mereka diukur melalui materi semata-mata. Aku pergi kerja, balik kerja dan hujung bulan aku dapat gaji. Tahun ini DG41, tahun-tahun depan DG44. Menghitung saat mengumpul harta kekayaan dunia yang nyatanya tidak pernah cukup. Ampuhnya usaha mereka tunggang terbalik terduduk meniarap hanya kerana ringgit diakaun cukup bagi menempuh duniawi yang semakin hari butuhkan wang untuk apa sahaja. Pun begitu, mereka tidak mengabaikan tanggungjwb mereka sebagai pendidik. Mereka melaksanakan setiap titis tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Masa bekerja ditani dengan keringat yang berbayar.


Guru jenis B pula, pemalas. Semudah menyebut huruf B, malas sungguh sinonim dengan Guru jenis B. Ala, esok kerja malasnya. Malasnya nak masuk kelas sekejap lagi. Malas nak menghadap pelajar si polan la. Malas itu, malas ini. Lidah basah hanya dengan perkataan malas bukan pula hamburan ilmu yang sepatutnya. Penyakit Malas ini ibarat virus yang sentiasa berevolusi untuk terus hidup. Bahaya!!!! Bentuk lain malas adalah alasan. Invensi alasan bukanlah satu perkara yang susah. Mudah mencipta alasan. Lebih mudah dari melaksanakan kerja yang sepatutnya. Masa habis untuk berhelah. Alasan dan malas, kembar siam.


Guru jenis O pula adalah GURU, CIKGU, PENDIDIK. Bersikap universal, mudah menyampaikan ilmu. Suka dengan apa yang dilakukan. Sentiasa menjadikan apa jua yang dihadapi sebagai sebahagian dari tanggungjawab. Positif, Kuat, Berani, Baik Hati, Pemurah, Bersemangat dan bermotivasi tinggi. Tidak pernah merungut, mengeluh mengadu dumba. Sangat disayangi para pelajar, disenangi dan menjadi contoh yang sangat baik untuk para pelajar.


Guru jenis AB adalah guru yang 'on off'. Kadang dia cenderung kepada jenis A, kadang-kadang B dan kadang-kadang O. Tapi kebanyakan masa jenis B. Guru jenis AB ini mempunyai potensi untuk pergi jauh cuma tahap motivasi yang turun naik menyebabkan Guru jenis AB agak terkebelakang sebelum jenis B. Celam celum. Pendirian rapuh dan seseorang yang masih mencari personaliti dan identiti diri. Kebanyakan dari guru jenis AB ini merupakan golongan guru muda. Terlalu selesa dengan kedudukan Guru pada hari ini menyebabkan mereka seolah kufur nikmat.

Senario guru itu ini sekarang. Ambil masa dan kelaskan diri anda. Yang mana?



Comments

Popular Posts