Tambah

 بسم الله الرحمن الرحيم

 اسلامليكم w.b.t


Hari ini saya, Rehan & Hannan melawat 'Baby Expo' di Midvalley Exhibition Centre. Tujuan asal kami ke Kuala Lumpur adalah untuk hadir dan meraikan walimatul urus adinda bongsu kami, Elly Azreen dan pasangannya. Namun, terlanjur kami turun ke sini, dan kebetulan ada 'Baby Expo' maka kami memutuskan untuk meninjau keperluan-keperluan bayi yang masih belum lengkap. Ya, minggu ini Rehan sudah 33 minggu usia kandungannya. Insya-Allah, jika dikurniakan rezeki kami akan menambah seorang lagi cahaya mata penyeri keluarga kami dalam awal Mei.

Selama hampir 3 tahun bersama Hannan, banyak yang kami pelajari. Kemahiran keibubapaan terutamanya. Yang lebih besar bagi saya sudah tentu ilmu kesabaran yang Allah cuba titipkan dalam jiwa-jiwa kami. Membesarkan Hannan dengan kami berdua bekerja, tambahan lagi saya belajar bukanlah suatu yang mudah. Bukanlah saya hendak menceritakan pahit jerih membesarkan anak, namun cerita ini perlu saya tuliskan untuk saya yakin bahawa kesabaran kami harus sentiasa bugar. 

Sehingga ke hari ini, jika dirumah, Hannan hanya akan ditemani alat mainan, Upin & Ipin serta kami yang sekali sekala melayan kerenahnya. Kadangkala, Hannan seolah-olah sengaja membuat perangai, barangkali cuba untuk menarik perhatian kami kepadanya. Dan kerapkali itu jugalah kami membalasnya dengan suara-suara keras memarahinya akibat keletihan dengan kerja-kerja seharian. Refleksi kami sebagai ibu bapa muda juga berjaya membawa konklusi kepada Hannan tidak lain inginkan perhatian dan kasih sayang kami. Benar, ia sungguh mencabar. 

Dan selepas ini, ahli keluarga kami akan bertambah. Hannan pasti sudah punya teman, dan pastinya bertambah juga keletihan yang kami akan rasai. Harusnya, kami menambahkan baja dan air agar akar kesabaran kami makin bercambah dan kuat. Tambahi kesabaranmu wahai hati! Allah kurniakan kami hati-hati yang sabar. Kurniakan juga anak-anak Syurga buat kami, qurratu a'yun dan pencen kubur kami. Babah & Mama sangat menyayangi kalian wahai anak-anak. 

Si Penyabar Hatinya,
Zahir,
Bangi, Selangor.

Update : Kami menamakan anakanda kedua kami dengan nama Amna Nawrah. Wajahnya saling tak tumpah dengan Sufi Hannan ketika berumur 1 hari. 




Comments

Popular Posts