Setahun lebih tua
بسم الله الرحمن الرحيم
اسلامليكم w.b.t
اسلامليكم w.b.t
Hari Lahir saya yang ke-29 disambut dengan serba sederhana pada 22 Ogos dan hanya bersama Rehan & Hannan. Tiada yang istimewa. Ianya lebih kepada meraikan sesuatu untuk dikenang. Hannan juga bakal menyambut hari lahir ke-2 nya dilahirkan ke dunia dalam kurang 24 jam. Saya terus menyimpan azam seperti tahun-tahun sebelum ini, untuk terus menjadi yang lebih baik kepada semua terutamanya mendahulukan Allah, Rasulullah, Mak dan Abah, Rehan, Hannan dan keluarga.
Namun, seringkali itulah juga saya dibayangi dosa-dosa lalu. Berfikir tentangnya benar-benar memberi sakit yang tidak terperi bukan sahaja dibenak fikiran saya, malah berbekas juga di jiwa saya. Ya, luka mungkin sembuh tapi parut tetap ada. Saya yakin, pilihan yang saya buat beberapa tahun dahulu bukanlah suatu yang mudah perjalanannya. Harapan saya pada doa Mak Abah dan Rehan agar saya terus kekal di jalan ini.
Allah, Allah, Allah. Saya benar-benar ingin berada dikalangan orang yang dikasihi Allah. Mengimpikan Syurga di suatu alam tanpa masa.
Hari ini, malam ini, saya terus sahaja dibayangi sesuatu yang benar-benar meresahkan.
Sampai bila ini harus berlaku, ya Allah. Sampai bilakah masa yang tinggal untuk saya didunia ya Allah, Mungkinkah apabila saya setahun lebih tua?
Yang sentiasa mendambakan keyakinan hati dan keteguhan iman,
Zahir,
Pontian, Johor.

Comments
Post a Comment